Ayah Takkan Putus Asa dan Berusaha Sehabis Baik Untuk Aisyah


Ayah Takkan Putus Asa dan Berusaha Sehabis Baik Untuk Aisyah

 

Wahai puteri kesayangan ayah, Nur Aisyah, nama diberi. Sepanjang perjalanan hidup ayah, tidak pernah sesekali pun ayah mengeluarkan air mata walaupun ayah dan ibu diuji pada saat kamu 7 bulan di dalam kandungan ibu.

Ibu kamu hampir dirobek perutnya oleh manusia-manusia perosak.

“Ambillah apa sahaja yang kamu mahu tetapi jangan apa-apakan saya,” rayu ibu kamu kerana bimbang akan keselamatan kamu pada ketika itu.

Pada waktu itu, ayah berada jauh di selatan tanah air menjalankan tanggungjawab dalam kerja yang diamanahkan. Dan pada ketika itu, ibu kami yang berada dalam keadaan ketakutan terlampau cuba memberikan diri untuk mendapatkan bantuan. Tabahnya ibu kamu.

Pada saat itu, ayah hanya mampu memanjatkan doa pada Allah supaya kamu dan ibu selamat dan di bawah lindungan Allah. Alhamdulillah, Allah menjawab doa ayah. Kamu dan ibu berada dalam keadaan baik. Yang penting hanyalah keselamatan kamu dan ibu.

Ayah cekal dan percaya Allah bersama dengan ayah. Walau setitis air mata pun ayah tak benarkan mengalir di pipi kerana ayah tahu ibu kamu amat memerlukan ayah pada ketika itu.

Pada 6 Julai 2016 kamu dilahirkan. Ayah sampai 30 minit kemudian selepas kamu dilahirkan dan ayah terus mendapatkan kamu kerana ayah diberitahu bahawa kamu dimasukkan ke wad NICU.

Ayah memperdengarkan kamu laungan azan dan iqomat di telinga kecilmu dan kamu mengenggam lembut tangan ayah. Bersyukur ayah ada masa itu.

Seminggu selepas kelahiran kamu, ayah dan ibu dikhabarkan berita bahawa kamu disahkan mengalami masalah jantung. Pandangan ayah tiba-tiba kelam, ibu kamu terus mengalirkan air mata kerana amat kasih pada kamu. Ayah terpaksa menahan dan pendam semua rasa untuk beri kata-kata semangat kepada ibumu. Ayah harus kuat dan mencari Allah untuk mengadu segalanya yang ayah rasa dan mohon serta merayu pertolongan dariNya.

Pertama kali pada saat itu ayah menangis sekuat-kuat hati ayah sehingga ayah tidak pernah rasa ayah tak dapat nak bernafas. Ayah buntu dan hilang kawalan serta hilang segalanya. Pada saat itu, mahu saja ayah digantikan dengan tempat kamu dan menanggung segala penderitaan yang Aisyah lalui. Ayah dan ibu terus berdoa untuk kamu Aisyah, supaya kamu kuat dan sentiasa di dalam lindungan Allah.

Ayah tidak pernah kehilangan masa untuk pergi melawat dan menjenguk keadaan kamu di hospital. Di situ juga ayah nampak wajah kerisauan ibu kamu yang sentiasa bertanya doktor akan keadaan kamu setiap masa sehingga doktor menjauhkan diri dari ibumu kerana jemu menjawab pertanyaan ibumu.

Setiap kali jarum menyentuh tubuhmu dan menyakiti rasa kamu, ibu dan ayah jauh lebih merasa di dalam. Ayah dan ibu tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya mampu berdoa pada Allah untuk semua kebaikan buat kamu.

Tiba hari bahagia bagi ayah dan ibu, kamu membuka mata seluas-luasnya untuk ayah dan ibu melihat kamu. Ayah dan ibu terharu dan sebak melihat mata yang bulat dan bersinar seperti ingin memberitahu ayah dan ibu sesuatu.

Allahuakbar, ayah teramat bersyukur kamu dipilih sebagai amanah Allah untuk ayah dan ibu.

Namun kegembiraan ayah dan ibu berakhir pada saat ayah menerima berita buruk di mana IJN menolak permohonan untuk pembedahan kamu. Saat itu, ayah hilang kawalan pada diri. Seperti membuak perasaan yang ayah tidak pernah wujudkan selama mana ini. Ayah tidak mampu berfikir, ayah keluar dari wad dan terus mengalir air mata.

2cpW1fp

Ayah tidak pernah berputus asa dan nekad akan berusaha sehabis baik untuk kamu, Aisyah. Dan sehingga ke hari ini, saat ini, ayah masih kuat berusaha untuk kamu. Semoga semuanya ini diberkati Allah. Ayah dan ibu sayang kamu dan kamu sentiasa di dalam hati ayah.

sumber :http://virulanuar.blogspot.co.id/2016/09/ayah-takkan-putus-asa-dan-berusaha.html

No comments:

Post a Comment